Sunday, February 7, 2010

Tahap Praktis Kerja Sosial Pada Hari Ini

Bidang kerja sosial menyumbangkan kepada kerjaya yang berkaitan dengan proses memberi pertolongan kemanusiaan. Ia mempunyai tanggungjawab dalam membaiki dan mengembangkan interaksi antara manusia dengan sistem di persekitaran mereka. Antara maklamat kerja sosial adalah membantu klien mencapai kesejahteraan hidup dengan memenuhi keperluan yang tidak dapat di capai oleh mereka, menggalakan manusia memiliki keupayaan untuk melaksanakan tugas-tugas kehidupan, mengatasi kesulitan yang dialami, mewujudkan aspirasi serta nilai-nilai kerja sosial.

Kerja sosial bermula apabila wujudnya stuktur, sistem dan cara-cara sistematik yang digunakan untuk memenuhi keperluan kebajikan ahli masyarakat. Kerja sosial telah di praktiskan di negara kita Malaysia sejak sekian lama. Secara dasarnya, kerja adalah satu profesion yang meliputi perkhidmatan yang memberi tumpuan kepada menangani masalah, meningkatkan kefungsian sosial, meningkatkan kapasiti serta menggalakan pencapaian taraf kehidupan berkualiti untuk kehidupan berkualiti untuk individu, kumpulan dan juga komuniti.

Umumnya, pekerja sosial adalah suatu profesyen yang memupuk perubahan sosial, menyelesaikan pelbagai masalah dalam perhubungan antara individu atau manusia dan seterusnya memperkasakan serta membebaskan manusia ke arah kesejahteraan hidup. Prinsip asas kerja sosial adalah prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat (definisi yang diterimapakai IFSW General Meeting in Montreal Canada, July 2000). Berasaskan definisi tersebut kerja sosial adalah sesuatu yang intrinsik dalam kehidupan harian manusia. Ianya berkaitan rapat dengan perkembangan potensi manusia dan juga sebagai "human capital". Tidak salah jika dikatakan bahawa kerja sosial seterusnya kerjaya profesyen kerja sosial adalah sesuatu yang amat diperlukan dalam keadaan dunia yang sedang mengalami perubahan sosio-ekonomi dan politik yang pesat dalam bentuk globalisasi dan ledakan teknologi maklumat.

IFSW General Meeting yang diadakan di Montreal, Kanada pada bulan Julai 2000 telah memberikan takrif baru kerja sosial yang boleh diterima di peringkat antarabangsa. Takrif baru ini telah menyisipkan nilai-nilai kemasyarakatan abad ke-21 yang lebih dinamik dan berkembang serta menyeluruh. Berdasarkan takrif yang dipersetujui itu, kerja sosial boleh didefinisikan sebagai satu bidang tugas yang bertujuan utuk meningkatkan perubahan sosial, menyelesaikan masalah dalam perhubungan manusia dan pendaulatan dan pembebasan manusia untuk mengukuhkan kesejahteraan. Takrif ini ditetapkan berdasarkan teori-teori perilaku manusia dan sistem-sistem sosial yang terlibat. Prinsip-prinsip hak asasi manusia dan keadilan sosial adalah asas untuk kerja sosial. Berdasarkan prinsip itu juga, kerja sosial dilihat mempunyai tiga matlamat utama:

Pertama, boleh membantu individu menyelesaikan masalah-masalah mereka atau menangani situasi-situasi tertentu dengan lebih berkesan.

Kedua, dapat bekerja dengan sistem-sistem, agensi-agensi, pertubuhan-pertubuhan, komuniti, dan birokrasi kerajaan, supaya orang boleh memiliki akses lebih baik untuk sumber-sumber dan perkhidmatan yang mereka perlukan.

Ketiga, membolehkan masyarakat disambungkan atau dihubungkan dengan sistem-sistem tertentu agar pelanggan-pelanggan dapat mengakses kepada sumber-sumber dan peluang-peluang perkhidmatan yang disediakan. Justeru, sasaran utama kerja sosial bukan sahaja tentang bagaimana seseorang individu dapat melakukan sesuatu perkara, tetapi juga bagaimana sistem-sistem dan masyarakat lain mempengaruhi di antara satu sama lain.

Di Malaysia amalan kerja sosial umumnya lebih dikaitkan dengan pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). JKM juga merupakan agensi terbesar kerja sosial yang menggunakan tidak kurang daripada 3,000 orang pekerja ketika ini. Hanya satu pertiga daripada tenaga kerja tersebut terlibat secara langsung dengan kerja-kerja kes sosial. Sebahagian lainnya adalah pekerja sokongan dan bukan bertaraf taknikal dan professional.

Di samping JKM, terdapat hampir 200 buah badan-badan sukarela kebajikan yang menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan memberikan perlindungan dan jagaan kepada mereka yang memerlukan khususnya anak-anak yatim, golongan kurang upaya, warga tua, kanak-kanak miskin dan bermasalah, wanita yang memerlukan perlindungan, dan khidmat bantuan ketika berlakunya sesuatu bencana alam. Ini amat penting kepada masyarakat dalam mencari bantuan perlindungan diri.

Rujukan :

Faizah Yunus,2006. Khidmat Sosial di Malaysia. Penerbit Malaya http://kulanzsalleh.com Samir Muhazzab Amin dan Winny Abdul, 2009. Pengantar Kerja Sosial. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributions Sdn Bhd. www.1Malaysia.com

No comments:

Post a Comment